Wednesday, November 15, 2006

MUSIK TRADISIONAL SABAH


Keseragaman

Muzik bagi orang Greek adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari alam percintaan mereka. Muzik di Sabah merupakan sebahagian yang penting bagi hampir semua kegiatan sosial di peringkat kampung.
Muzik melambangkan keselarasan tradisional yang wujud di kalangan penduduknya sejak bertahun-tahun. Ia dimain semasa majlis perkahwinan, pertunangan, perayaan menuai, hari ulang tahun pertama kanak-kanak, upacara-upacara keagamaan animisma dan upacara-upacara berkaitan yang penting bagi masyarakat tempatan. Setiap kumpulan etnik mempunyai bentuk muzik yang tersendiri walaupun banyak alat-alat muzik utama merupakan alat yang sama digunakan. Setiap alat dibuat dengan perasan sayang dengan memotong, membentuk dan diuji. Berbagai-bagai gabungan alat-alat muzik mempunyai keistimewaannya sendiri dengan perbezaan dalam segi bentuk, rentak dan nada. Terdapat juga alat-alat muzik tertentu yang hanya digunakan oleh satu kumpulan masyarakat sahaja dan tidak dimain oleh masyarakat yang lain.
Muzik tempatan sering berkait rapat dengan tarian. Ia juga berfungsi sebagai muzik latar dalam sesuatu majlis upacara. Sesetengah alat lazimnya digunakan oleh orang perseorangan untuk hiburan diri sendiri.


Tradisi Lisan
Muzik tradisional Sabah tidak mempunyai sistem not yang tradisional dan seni kata lagu juga tidak bertulis. Semua muzik dan nyanyian diturunkan secara tradisi dari generasi ke generasi. Persembahan muzik boleh dilakukan oleh lelaki dan wanita tetapi sesetengah alat muzik secara tradisi dihasilkan khusus sama ada untuk pemuzik lelaki atau wanita sahaja. Sebagai contoh, kaum lelaki umumnya main gong bercombol besar dan gendang dan kaum wanita kulintangan dan gong leper
.
Jenis Alat Muzik
Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah dibuat daripada bahan-bahan asli. Sebagai contoh, tongkungon, turali, suling (atau seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh. Alat lain seperti gambus, kompang dan gendang diperbuat daripada kulit kambing. Gong dan kulintangan dibuat daripada kayu lembut dan menyerupai gitar panjang bertali tiga yang dibuat daripada giman, sejenis gentian pokok palma.
Alat-alat muzik di Sabah dikelaskan kepada kordofon (tongkungon, gambus, sundatang atau gagayan), erofon (suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton, idofon (togunggak, gong, kulintangan) dan membranofon (kompang, gendang atau tontog).

SATU KELUARGA MENCARI ANAK

Pada zaman dahulu, kononnya, ada satu keluarga yang sudah lama berumahtangga tetapi masih belum mendapat anak. Mereka berdua sangat ingin mempunyai anak. Pada suatu hari Si Suami pergi berburu dengan anjingnya di hutan. Apabila dia sampai di satu tempat yang berlalang, dia nampak seorang anak. Lelaki itu sangat gembira dan dia berkata, "Wah, saya dapat anak!" Jadi dia memeluk anak itu. Dia tidak pergi berburu lagi tetapi terus pulang pula.
Tergesa-gesa dia berjalan pulang, dan sewaktu hampir sampai ke rumahnya, jauh lagi Si Suami berseru menyuruh isterinya memasak bubur. Sebaik saja dia sampai di rumah, anak itu pun dimandikannya dan diberikannya pakaian. Betapa suka hati mereka berdua. Apabila bubur itu masak, mereka memberinya makan, tetapi anak itu tidak mahu makan. Kata Si Suami, "Cubalah engkau biar dia menyusu, mana tau dia mahu." Jadi Si Isteri itu pun menyusui anak itu. Anak itu kuat menyusu. Kata Si Isteri itu, "Hiduplah anak kita sebab dia kuat menyusu."
Anak itu pun menyusu, hingga perempuan itu tertidur dia masih tidak mabu berhenti. Si Suami curiga sebab sudah lama isterinya tidak sedar diri. Lelaki itu pergi membangunkan isterinya. Aduh, isterinya tidak ada lagi, badannya sudah keras, dia sudah mati, sebab anak itu bukan anak manusia tetapi adalah ibu pacat! Lelaki itu sangat marah sebab isterinya sudah mati. Lalu dia menetak anak itu dengan paranguya. Belum lagi parangnya menembus anak itu, maka darah pun memercik keluar, darah isterinya yang sudah dihisap oleh ibu pacat itu hingga ia kenyang. Si Suami sungguh menyesal, tetapi isterinya sudah mati.